KAPIT: Seorang lelaki terselamat manakala empat lagi mangsa termasuk dua anggota polis masih hilang dalam insiden bot karam berhampiran kawasan SK Lepong Baleh di sini  petang Khamis.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang Khamis ketika bot yang dinaiki lima lelaki itu dalam perjalanan dari Melekun ke Nanga Tulie.

Kesemua mangsa hilang dikenal pasti sebagai Iskandar Ibrahim, Jonathan Ak Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan.

Semasa menghampiri hulu sungai, bot tersebut merempuh air yang berpusar menyebabkan ia terbalik dan karam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Henderi Ardimansyah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

“Salah seorang mangsa, Moses Ngui berusia 47 tahun, berjaya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan berada berhampiran di tempat kejadian manakala empat lagi hanyut dibawa arus deras,” katanya.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 5.40 petang.

Sebaik tiba di lokasi, bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah ‘water surface searching’ sekitar 1 kilometer dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 6.50 petang kerana arus deras dan cuaca gelap.

Operasi SAR akan disambung pada jam 8 pagi Jumaat.